Friday 6 December 2013

Ekonomi: Sistem yang Berkait dengan Saya?

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Ekonomi adalah satu bidang yang sangat luas.

Ia bercakap tentang sistem.

Ia menerangkan tentang apa, kenapa, berapa dan bagaimana.

Ia mengkaji tentang nilai dan kelakuan.

Ia menjangka kemungkinan berdasarkan bukti dan dapatan.

Ia juga dinamik dan berevolusi dengan berkembangnya pemikiran baharu.

Ia terus meraikan kritik dan pandangan.

Namun, ia bukanlah bidang yang baru. 1400 tahun yang lalu, intipati ekonomi menerusi terma fiqhnya ‘muamalah’ telah diperjelas oleh Allah di dalam Al Quran dan diperhalusi dalam bentuk amali oleh Junjungan Besar Muhammad SAW. Seawal akhir kurun ke dua Hijrah, ia telah mulai berkembang sejajar perkembangan pesat kegiatan perekonomian waktu itu. Bahkan, sekalipun ekonomi sebagai disiplin moden disebut sebagai memulai momentumnya pada 1976, buku pertama tentang teori of interest telahpun ditulis seawal 1946 oleh AI Quraishi.

Menariknya, Al Quran menyebut dengan jelas perkara-perkara berkaitan wang, transaksi jual beli, transaksi hutang, sukat dan timbang, zakat, sedekah, faraid, harta rampasan perang, sumber-sumber, riba, kepenggunaan, rezeki, etika, guna tenaga, perdagangan, polisi, ketamadunan dan pembangunan serta banyak lagi. Dalam hal ini, dapatlah difahami gagasan Islam sebagai cara hidup merangkumi ruang lingkup yang jauh lebih besar daripada ibadah khusus semata-mata. Bahkan,  ekonomi meliputi sebahagian besar hidup kita.

Ia merupakan salah satu objektif pensyariatan agama. Di mana objektif yang kelima agama (maqasid syariah) adalah untuk memelihara harta (maal). Peri pentingnya harta sehingga diperhalusi oleh Islam mulai dari pemerolehannya (acquisition) sehinggalah ke peringkat penggunaannya (disposition).

Kesemuanya ada garis panduan.

Kesemuanya ada pertanggungjawaban. Tertakluk pada hukum yang lima. Halal, haram, sunat, makruh atau harus.

Ibaratnya, kelestarian seorang Muslim dalam melunaskan tanggungjawab kepada Allah tidak sempurna melainkan ada penyempurnaan dari segi ekonomi kehidupannya. Ibarat mahu makan ayam yang halal, manusia perlu tahu ilmu melentur besi bagi menghasilkan pisau yang tajam.

Ibarat mahu menunaikan rukun Islam keempat iaitu zakat, perlu ada ilmu bagaimana mahu menjana rezeki untuk dizakatkan.

Ekonomi adalah ilmu untuk kehidupan.

Ia suatu tanda kecintaan kepada agama kerana mahu melunaskan tanggungjawab dalam Al Quran dan As Sunnah.

Ia mercu cinta kepada ummah melalui usaha memajukan diri dengan cara dan pendekatan yang hak.

Salam sayang. Hingga berjumpa lagi.   

Hubungi Kami

Saya boleh dihubungi menerusi:

Email: ishatun@gmail.com

Facebook: https://www.facebook.com/SadiahAbdulKarim
Telefon: 010-2252540
Blog: http://hijabi2u.blogspot.com/

Thursday 5 December 2013

Salam Perkenalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selamat datang ke blog Ekonomi & Anda. 

Sebelum melangkah jauh, ada baiknya saya perkenalkan diri saya terlebih dahulu. Dinamai sebagai Sa'diah Binti Abdul Karim oleh ayahanda dan bonda saya Abdul Karim bin Jusoh dan Salmah Binti Awang. Puteri bongsu dari lapan orang adik beradik, dua lelaki dan enam perempuan. Merupakan suri hati suami yang baik budi, Ismanizam Bin Ismail dan mama kepada tiga cahaya mata lelaki yang sedang membesar. Saya dan suami menggelarkan mereka "el hakeem bros", apa tidaknya kerana mereka semua kami namai dengan Izzuddeen El Hakeem, Fekhri El Hakeem dan Irfan Fateeh El Hakeem. Alhamdulillah. Berasal dari tanah diraja Pekan, Pahang dan kini menetap di Bangi. Ketika ini saya menjawat jawatan sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta Islam di Selangor. Saya merupakan graduan dari UIAM dalam bidang ekonomi Islam. Bidang ekonomi Islam dan pendidikan merupakan kecintaan saya. Saya juga seorang yang sukakan ketenangan, fesyen dan cenderung mendalami ilmu keibu bapaan. Menulis merupakan sebahagian keperluan kerjaya saya dan menulis di blog adalah khidmat saya terhadap massa in syaAllah.

Blog ini bermatlamat sebagai satu perkongsian konsep dan isu ekonomi semasa. Perkongsian adalah berdasarkan pembacaan dan pemahaman serta analisa saya yang sentiasa berusaha menambahbaik diri dan ilmu, maka tiada yang sempurna adanya. Pun begitu mencuba berkongsikan yang terbaik in syaAllah. Bak kata cerdik pandai, "dengan memberi sebenarnya kita memperbaiki diri".

Ekonomi pada asasnya berkaitan diri dan kehidupan kita. Sekalipun kita tidak mempelajarinya di dalam kelas, namun kita berinteraksi dengannya setiap hari. Memperoleh sarjana dalam ekonomi tidak menjamin kita akan sukses 100 peratus dalam ekonomi kehidupan, namun ia membuka lebih banyak peluang untuk kita meraih kebaikan dan kejayaan dalam perkenomian hidup kita.

Pada entry akan datang akan saya kongsikan lebih lanjut tentang "Ekonomi: Sebuah Sistem yang Berkait dengan Saya?"

Salam sayang. Hingga jumpa lagi.