Sunday 28 September 2014

PAGI RAMADHAN ITU

Apa kata kita join kem on sistemik thinking Ramadhan ni?" sahabat baik saya, Along memberikan ideanya.

"Menarik tu. Seronok berprogram di bulan Ramadhan" saya membalas dan memberikan persetujuan.
Bagi saya, jika mak dan aki mengizinkan, maka saya akan menyertai beberapa orang sahabat dari IIUM ke Johor untuk sama-sama mengikuti kem ini. Sementelah pengajianundergrad saya sudah di penghujungnya, terasa program pengisian sebegini adalah sesuatu yang sangat sukar saya lepaskan.
Kami meghabiskan hampir seminggu di Kersani Training Center, alhamdulillah... pengisian harian di sebelah siang yang sungguh bermanfaat dan pengisian rohani di sebelah malam yang begitu menginsafkan.
Saya tidak berhasrat untuk memperincikan sistemik thinking di sini, namun saya sekadar berkongsi sebuah permainan fikir-zikir (jika boleh saya namakan begitu) dalam entry saya kali ini.

I
"Baiklah... apa yang ana nak antum buat sekarang ialah antum kena gerakkan bola ini dengan laju di sepanjang garisan yang telah ana tandakan ini. Tetapi ingat, titik tengah bola ini mestilah sentiasa selari dengan garis lurus ini" instructor kami, Fazrul memberikan arahannya pagi itu setelah kami menyelesaikan tugasan kami membaca Al Quran sebagaimana pagi sebelumnya.
Wakil setiap kumpulan melakukan sebagaimana yang diminta, nampak mudah tetapi tidak begitu pada hakikatnya. Kami teruja untuk tahu 'hikmah' di sebalik sesi ini.

II
Sebagaimana yang kita maklum, bola adalah berbentuk sfera. Sfera adalah antara bentuk-bentuk yang kita pelajari dalam Matematik selain dari segiempat, segitiga, trapezium, dan bulatan. Perbezaan antara sfera dan bulatan ialah sfera wujud dalam 3 dimensi sedang bulatan adalah dalam dua dimensi. Sfera juga mempunyai titik tengah yang mempastikannya di dalam keseimbangan. Jika kita mengambil contoh sebiji bola yang elok (diisi angin) maka di tengah-tengah bola itu adalah titik tengahnya. Jika kita menggerakkan bola dengan cepat dan dalam masa yang sama kita mahukan titik tengahnya selari dengan satu garis lurus. Maka ia sebenarnya adalah sesuatu yang cukup sukar. Ini kerana titik tengah bola itu tidak sentiasa berada selari dengan garis lurus itu.

III
Perkaitan sfera, titik tengah dan sebuah garis lurus ini boleh dikaitkan dengan kehidupan kita semua.
Titik tengah itu boleh diibaratkan sebagai asas Tawhid iaitu keyakinan, kepatuhan dan hubungan kita dengan Allah yang mesti kita pelihara agar kita sentiasa berada di dalam haq dan keseimbangan. Seruan mentauhidkan Allah merupakan perkara yang paling esensi dalam kehidupan kita sebagai Muslim dan ia perkara yang disampaikan setiap Nabi dan Rasul.

Garis Lurus itu pula dianalogikan sebagai Islam as our way of life, yang digambarkan dalam sabda Baginda SAW, bahawa mereka yang menuruti jalan yang lurus sahaja yang akan selamat. Sedang jalan-jalan lain yang bercabang dari siraat al mustaqiim itu menghalatujukan kesesatan dan kemurkaan Allah.

Menggerakkan bola secara laju di atas garis yang lurus dan dalam masa yang sama mahukan titik tengahnya berada selari dengan garis lurus itu adalah diibaratkan kehidupan ini yang sentiasa perlu dipastikan di selarikan dengan Islam sebagai cara hidup, perjalanan hidup ini tidak boleh dikuarantinkan dari realiti hidup bermasyarakat - hubungan sesama manusia. Dalam masa yang sama pelbagai pengaruh yang ada disekeliling kita dalam bersosial tadi merupakan cabaran untuk kita terus berada in a correct path.

IV
Saya terfikir adakah benar mereka yang berpendapat mereka itu berada selari dengan garis lurus sedang mereka tidak mahu melibatkan diri dalam memperbaki masyarakat dan memperkukuh institusi khaira ummah - amar ma’ruuf nahi munkar? Bagi saya, ia seolah-olah perbuatan mengredkan pelajar dengan gred A - tanpa mempastikan mereka menduduki imtihaan.
Penulis terfikir lagi bagi membantu memperbaiki masyarakat kita perlu mempastikan hubungan kita dengan Allah dipertingkatkan - dengannya kita mampu menjadikan matlamat untuk menyampaikan dan meninggikan syiar Islam itu terlaksana, in syaAllah.

Perkaitan di antara ketiga-tiga ini merupakan sesuatu yang tidak mudah namun bukan pula mustahil. Kesilapan yang mungkin kita lakukan ialah dengan tidak menyeimbangkan di antara ketiga-tiganya.
Mudah-mudahan ada manfaatnya.


Thursday 25 September 2014

AZAM SANG SURI

PERKONGSIAN 
"Baba, how's your day?" saya menyoal sambil tersenyum. "I made my day, mama" suami saya menjawab dengan begitu positif. Itulah jawapan yang suami saya sering hadiahkan kepada saya. Dan jawapan itulah yang biasanya mematikan andai ada 'mood tidak baik' yang mungkin saya bawa pulang dari tempat kerja. Ya. Jadikan hari-hari yang mendatang sebagai hari yang ceria. Kami melanjutkan bicara tentang hari masing-masing.

Meskipun suami saya tidak pernah berkongsi maklumat privasi klien yang diamanahkan kepadanya sebagai peguam, namun kami berbicara dari aspek ibrahnya terutama yang berkaitan harta pusaka dan institusi rumahtangga. Kata orang, mana yang baik dijadikan teladan, mana yang sebaliknya maka jadikanlah sempadan. Petang itu suami saya berkongsi tentang peranan HAKIKI seorang isteri. Dek kerana besar manfaatnya buat diri saya yang masih bertatih dalam mempelajari ilmu rumahtangga ini, maka saya kongsikan ia dengan anda yang mungkin merupakan seorang gadis yang bakal berumahtangga atau isteri yang juga ibu kepada anak-anak yang sedang membesar mahupun suami yang mahu menitipkan 'hadiah kata-kata' buat isteri yang tercinta.

FORMULA 
Ramai orang yang mahukan formula menjadi isteri yang baik dan berjaya.
Namun, ramai juga yang sudah tahu namun tidak mahu atau tidak mampu merealisasikannya.
Kenapa? Hanya diri kita sendiri yang tahu jawapannya.
Untuk itu, fokuslah pada matlamat, berpeganglah pada prinsip, sesuaikanlah pada keadaan serta berpijaklah pada realiti.

Kerana formula menjadi isteri yang baik dan berjaya dalam rumahtangga ialah - ISTIQAMAH dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai ISTERI kepada suami anda sekalipun anda telahpun menjadi ibu kepada anak-anak yang semakin ramai atau wanita bekerjaya yang semakin menempa nama.

Mudah bunyinya bukan?
Tapi realitinya tetap mencabar.

HAKIKI vs MENDATANG
Hari-hari yang dilalui sebagai isteri tentulah tidak sama.

Mulai dari hari diijab kabulkan seterusnya berbulan madu lalu memulakan kehidupan sendiri yang baru serba-serbi. Sehinggalah akhirnya diangkat martabat sebagai 'guru pertama' buat generasi pelapis yang dikurniakan.

Jika pada awal perkahwinan hanya suami yang diberi perhatian dalam rumahtangga, kini perhatian juga perlu untuk si anak. Jika dulu mungkin kurang bebanan kerjayanya, namun kini komitmen kewangan yang bertambah menuntut suami dan isteri sama-sama melipatgandakan usaha sama ada dalam atau di luar office hour. Sehingga akhirnya suami isteri kabur dan lebur oleh kalimah keramat yang bernama S.I.B.U.K.

Apa yang lebih mencabar, ada tugas mendatang untuk si isteri yang turut hadir bersama keSIBUKan itu.
Tugas itu mungkin mengubah sikap seorang ISTERI kepada pengarah rumahtangga.
Tugas itu mungkin mengubah sikap seorang ISTERI kepada pengurus rumahtangga.
Tugas itu mungkin mengubah sikap seorang ISTERI kepada chef rumahtangga.
Tugas itu mungkin mengubah sikap seorang ISTERI kepada setiausaha rumahtangga.
Tugas itu mungkin mengubah sikap seorang ISTERI kepada pengasuh rumahtangga.

Sehinggalah akhirnya tugas-tugas mendatang itu mengHIJAB tugas HAKIKI seorang ISTERI.
Sesungguhnya bukan kecil bencana dari kealpaan ini.
Dan tidak sedikit rumahtangga yang kecundang kerananya.

Pokoknya, raikanlah tugas yang mendatang namun dalam masa yang sama jangan sesekali mengabaikan tugas HAKIKI seorang isteri.

Kerana seorang isteri tetaplah isteri sekalipun dia adalah juga seorang ibu, pemimpin masyarakat, pekerja, pelajar atau sesiapa sahaja.

IKUTAN
Ibrah sejarah menukilkan cemerlangnya peranan seorang ISTERI bernama Khadijah Bint Khuwailid. Beliau adalah OBOR buat Rasulullah SAW, beliau adalah ibu dan guru buat anak-anaknya, beliau pernah menjadi usahawanita yang berjaya. Namun, dia tetap seorang ISTERI yang menyelimutkan dan menenangkan suaminya yang gementar tatkala didatangi Jibril a.s sewaktu menerima wahyu pertama. Beliau tetap seorang ISTERI yang mendengar setiap kata-kata Nabi SAW dan membenarkannya. Beliau tetap seorang ISTERI yang memberikan sokongan dan kepercayaan yang tidak berbelah-bahagi terhadap suaminya.

Mudah-mudahan rumahtangga itu bakal menjadi syurga duniawi kita!

SELAMAT ULANGTAHUN PERKAHWINAN YANG KE-9 SAYANG. MANY MORE YEARS TO TREASURE, IN SYA ALLAH :)