Saturday 4 January 2014

TENTANG WANG DALAM SUNNAH


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para pembaca yang setia, 

Semoga semuanya sihat dan ceria melazimi kebaikan sebagai rutin harian. 

Saya membelek-belek Summarized Sahih Bukhari Arabic-English yang diterjemahkan oleh Dr. Muhammad Muhsin Khan. Terasa lama sudah tidak memegang kitab Hadith sejak meninggalkan Taman Ilmu dan Budi. Dari senarai indeksnya saya mencari bab tentang wang. Dua kali saya membelek indeksnya, tetapi tiada. Cuma yang paling hampir dengan pencarian saya tentang wang dalam sunnah ialah bab jual beli (the book of sales). Perlahan-lahan saya berdoa agar Allah mempermudah urusan saya bukan sahaja untuk memahami hadith-hadith ini tetapi juga untuk menganalisanya setakat kemampuan saya.

Pada mulanya, akal saya mengatakan kepada hati saya tentang siapalah saya hendak menulis tentang wang dalam Sunnah, sedangkan saya bukanlah mendalami jurusan Hadith pun. Hanya ada dua tiga hadith yang saya ingat-ingat lupa. Sedih sungguh. Tetapi, saya harus jujur pada diri saya, bahawa akal saya semata-mata tidak mampu memberi kata putus kepada fakulti-fakulti lain dalam diri saya, iaitu hati dan fizikal saya. Iya saya jenis yang jika hati saya mahukan sesuatu, fizikal pun akan turut terpaksa memenuhinya. Jadi, saya bisikkan pada akal, “mari bekerjasama dengan berfikir positif”. 

Sekali lagi, disclaimer saya, mohon jika ada orang yang lebih ahlinya membaca entri ini, marilah memperkayakan tulisan ini demi pencerahan bersama.

Jujurnya, saya menghargai hadith dan terjemahannya lebih daripada Al Quran terjemahannya (opops jangan silap faham). Maksud saya, adalah lebih mudah saya memperoleh terjemahan bagi ayat-ayat Al Quran berbanding untuk saya memperoleh hadith dan maknanya yang berkaitan dengan apa-apa subjek yang saya cari jawapannya. Tetapi jika hadith, tak kan padan jika merujuk satu Sahih sahaja. Sekalipun, inilah yang saya buat untuk peringkat permulaan ini. Iya. Saya hanya merujuk Sahih Bukhari dahulu. Bertatih kata orang, in syaAllah.

Untuk itu, saya rasa begitu rugi andai saya tidak menukilkan hadith-hadith yang membantu saya memahamkan saya tentang wang dalam sunnah.
Terlebih dahulu, saya kategorikan penemuan hadith-hadith ini kepada tiga kategori:
  1. Pertama: hadith-hadith yang menguatkan apa yang telah dijelaskan oleh Allah dalam Al Quran iaitu mata wang adalah emas dan perak (dinar dan dirham)
  2. Kedua: hadith-hadith yang memerihalkan tentang item-item lain yang menjadi mata wang
  3. Ketiga: hadith-hadith yang menjelaskan tentang syarat-syarat jual beli emas, perak dan item-item lain yang juga merupakan matawang

Pertama: Hadith yang menguatkan apa yang telah dijelaskan oleh Allah dalam Al Quran iaitu mata wang adalah emas dan perak (dinar dan dirham).

Dalam bab ke 44, hadith no. 1035, m.s 483, Daripada Jabir radiallahu ‘anhu: Rasulullah SAW melarang daripada menjual buah-buahan melainkan setelah ia masak, dan tiada satu pun daripada buah-buahan itu boleh dijual melainkan dengan menggunakan dinar ataupun dirham (iaitu wang), melainkan pokok ‘Araya (kurma yang boleh dijual dengan kurma).

Adalah penting pada asasnya untuk memahami bahawa Sunnah antara peranannya adalah penjelas kepada apa yang termaktub di dalam Al Quran. Dalam entry yang lepas, saya telah menemukan jawapan tentang adanya Firman Allah yang menyebut bahawa emas (dinar) dan perak (dirham) sebagai matawang.

Makanya, dalam hadith no. 1035 ini, Rasulullah SAW telah sekali lagi menegaskan perkara yang sama. Rasulullah SAW menjelaskan yang mana apabila buah-buahan telah masak, maka ia boleh dijual menggunakan dinar ataupun dirham. Untuk itu, dapatlah saya memberikan konklusi bahawa dinar dan dirham diiktiraf sebagai matawang dalam kedua-dua Al Quran dan As Sunnah.

Kedua: Hadith-hadith yang memerihalkan tentang item-item lain yang menjadi matawang

Dalam bab ke 30, hadith no. 1019, m.s 477, daripada ‘Umar Bin Al Khattab radiallahu anhu: Rasulullah SAW telah bersabda: “Pertukaran emas dengan emas, adalah riba melainkan jika ia dilakukan serta merta dan dengan timbangan yang setara, dan gandum dengan gandum adalah riba melainkan jika ia dilakukan serta merta dan dengan timbangan yang setara, dan kurma dengan kurma adalah riba melainkan ia dilakukan dengan serta merta dan dengan timbangan yang setara, dan barli dengan barli adalah riba melainkan jika ia dilakukan dengan serta merta dan dengan timbangan yang setara.”

Satu lagi hadith diriwayatkan dalam sahih Muslim (via buku Imam Imran yang dirujuk dalam entri lepas m.s 24 – 25). Abi Said Al Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam. (Apabila berlaku transaksi), maka ia mesti sama atau setara, dan pembayaran adalah serta merta, jika sesiapa di antara kamu yang memberi lebih atau meminta lebih, maka dia telah terlibat dengan riba dan si pemberi dan si penerimanya kedua-duanya adalah sama-sama berdosa”.

Sewaktu saya mula-mula meneliti kedua-dua hadith ini, saya bertanya kepada diri saya tentang bagaimana saya hendak menganalisa yang item-item seperti kurma, gandum, barli dan garam juga merupakan matawang? Untuk itu, saya mencuba memahaminya menerusi dua sudut:
  1. dalam kedua-dua hadith ini, Rasulullah SAW menyebut akan emas dan perak (dan kita sedia maklum yang kita telah menemukan justifikasi kedua-dua item ini sebagai matawang) bersama-sama dengan item-item yang lain iaitu kurma, gandum, barli dan garam. Dari segi uslub atau kaedah penyampaiannya, maka dapat difahami bahawa item-item ini mempunyai fungsi dan peranan yang sama disebabkan a) item-item ini dinyatakan secara bersama b) syarat-syarat jual beli item ini juga sama ya’ni perlu melibatkan pertukaran yang setara timbangannya dan tidak boleh pertukarannya dilakukan secara bertangguh. Dan dalam masa yang sama, ketidakpatuhan kepada kedua-dua syarat ini membawa kepada implikasi yang sama iaitu Riba. Pun begitu, implikasi seperti ini tidak terjadi sekiranya pertukaran yang tidak setara berlaku dalam pertukaran dua ekor unta kurus dengan seekor unta gemuk contohnya.
  2. item-item ini mempunyai nilai yang tersendiri ataupun berharga atau precious value inside them, sehinggakan ia berkeupayaan menjadi medium pertukaran atau accepted to be medium of exchange. Selain itu, item-item ini juga mempunyai jangka hayat sehingga ia mampu menyimpan nilai atau store of value. Dalam masa yang sama, item-item ini juga boleh menjadi rujukan nilai atau standard of value. Contohnya, nilai beberapa ekor unta boleh diukur dengan sekian sekian dinar atau dirham. Tetapi, fungsi-fungsi ini tidak terpakai ke atas nasi lemak contohnya kerana ia adalah tidak tahan lama atau perishable. Biarpun kurma, gandum, barli dan garam juga ada tarikh luputnya, namun item-item ini masih mempunyai sesuatu yang kita panggil rack lifetime untuk suatu jangka masa tertentu.

Pun begitu, masih terdapat dua perkara utama yang saya masih belum menemukan jawapan yang mampu memuaskan pemikiran saya iaitu:
  1. jika sekiranya item-item lain yang juga berharga, mempunyai jangka hayat dan diterima oleh masyarakat, maka adakah ia diterima di dalam Islam sebagai matawang contohnya timah, beras, getah, gula dan kelapa sawit
  2. apakah mekanisme bagi merealisasikan penggunaan matawang komoditi seperti ini dapat direalisasikan. Al Quran dan As Sunnah menerangkan perkara pokok tentang jenis matawang. Persoalannya bagaimanakah pelaksanaannya?


Ketiga: hadith-hadith yang menjelaskan tentang syarat-syarat jual beli emas, perak dan item-item lain yang juga merupakan matawang

Dalam bab ke 48, Hadith no. 1039, m.s 484, daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Huraira radiallahu ‘anhuma : Rasulullah SAW telah melantik seseorang sebagai Gabenor Khaibar. Gabenor tersebut telah membawa kepada Baginda sejenis kurma yang sangat baik (jenis kurma Khaibar). Rasulullah SAW bertanya, “Adakah semua kurma Khaibar seperti ini?” Gabenor itu menjawab, “Demi Allah, tidak, wahai Rasulullah! Namun kami menukarkan satu Sa’ kurma jenis ini dengan dua Sa’ kurma kepunyaan kami dan dua Sa’ kurma jenis ini dengan tiga Sa’ kurma kepunyaan kami,” Rasulullah SAW bersabda, “Jangan lakukan begini [kerana ini adalah salah satu jenis Riba], akan tetapi jualkanlah kurma campuran ini dengan menukarkannya dengan wang, dan belilah kurma dari jenis yang baik dengan wang itu”.

Dalam bab ke 40, hadith no. 1029, m.s 481, daripada Abu Bakar radiallahu anhu telah berkata:  telah bersabda Rasulullah SAW, “Jangan menjual emas dengan emas melainkan dengan timbangan yang setara, dan tidak juga perak dengan perak melainkan dengan timbangan yang setara (dan secara serta merta ya’ni tidak bertangguh), tetapi kamu boleh menjual emas dengan perak atau perak dengan emas selayaknya kamu mahu”

Dalam bab ke 41, hadith no. 1030, m.s 481, daripada Abu Said Al Khudri radiallahu anhu: Rasulullah SAW telah bersabda, “Jangan menjual emas dengan emas melainkan dengan timbangan yang setara (dan serta merta ya’ni tidak bertangguh), dan jangan menjual timbangan yang kurang ke atas timbangan yang banyak dan juga sebaliknya dan jangan menjual perak dengan perak (perkataan yang digunakan adalah wariq dan terjemahannya menggunakan makna sebagai perak) melainkan dengan timbangan yang setara (dan serta merta ya’ni bukan dengan secara bertangguh), dan jangan menjual timbangan yang kurang ke atas timbangan yang banyak dan juga sebaliknya, dan jangan menjual emas atau perak yang belum wujud dengan emas atau perak yang mana perak yang telah wujud”

Dalam bab ke 42, hadith no. 1031, m.s 481, daripada Abu Said Al Khudri radiallahu anhu: “Menjual dinar dengan dinar, dan dirham dengan dirham (adalah diharuskan).” Aku berkata kepadanya, “Ibnu ‘Abbas tidak berkata seperti itu.” Abu Said menjawab, “Aku telah bertanya Ibnu ‘Abbas sama ada dia telah mendengarnya daripada Rasulullah SAW atau melihatnya dalam Al Quran. Ibnu ‘Abbas menjawab, “Aku tidak menyetujuinya, dan engkau mengenali Rasulullah SAW lebih daripada aku, tetapi Usamah pernah memberitahuku bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak ada riba (dalam pertukaran wang) melainkan jika ia tidak dilakukan serta merta (ya’ni apabila ia melibatkan bayaran secara bertangguh).”

Dalam bab ke 43, hadith no. 1032, m.s 482, daripada Al Barra’ bin ‘Azib dan Zaid Bin Arqam radiallahu anhum, bahawa kedua-duanya telah ditanya tentang pertukaran wang, maka setiap dari keduanya berkata, “Dia ini lebih baik daripada aku”, dan kedua-duanya berkata, “Rasulullah SAW telah melarang menjual perak dengan emas secara tertangguh”.

Saya mengambil masa untuk menjambatankan pemahaman hadith-hadith ini dengan ilmu ekonomi yang saya pelajari. Dalam keterhadan, saya dapat menganalisa satu perkara utama:

Setelah saya diyakinkan dengan hujah dan dapatan bahawa emas, perak, kurma, gandum, barli dan garam diterima sebagai matawang. Maka adalah penting untuk difahami bahawa pertukaran matawang dengan matawang mestilah setara nilainya dan serta merta dilakukan (dalam satu majlis dan bukan secara bayaran tertangguh). Kenapakah ia disyariatkan kepada kita sebegitu rupa? Dengan mengambil satu contoh, katakanlah si A mahu menukarkan 200 gram emas jongkong dengan 200 gram emas perhiasan (jewelleries) dengan si B. Katakanlah nilai emas pada harga semasa dari jenis yang sama adalah RM132 bagi setiap satu gram didarab dengan 200 gram maka nilainya adalah RM26,400. Jika menurut persyariatan agama, nilai pertukaran ini hendaklah dilakukan secara hand to hand bukan secara kredit atau tertangguh. Kenapa? Kerana katakalah jika si A bersetuju untuk menyerahkan emas jongkongnya kepada si B pada 1 Januari 2012 dan dalam masa yang sama bersetuju membenarkan si B menyerahkan 200 gram emas perhiasannya pada 1 Disember 2012. Maka di situ, terbukalah peluang riba di mana ada kemungkinan di sebabkan faktor waktu dan penangguhan, pertukaran yang berlaku adalah di antara 200 gram emas jongkong dengan 250 gram emas perhiasan. Ya’ni bukan lagi 200 gram emas jongkong dengan 200 gram emas perhiasan. Dan, ini dengan jelas membuka kepada pintu Riba.

Dari konteks yang lebih kontemporari, inilah masalah yang kita hadapi. Apabila kita meminjam RM100,000 daripada bank dan bersetuju dengan perjanjian bayaran balik dalam tempoh 20 tahun, bukankah pada akhirnya kita terpaksa membayar balik kepada bank RM200,00 (dengan mengambil kira faktor faedah dan sebagainya)? Bukankah ini contoh pertukaran wang dengan wang yang tidak setara? Dan bukankah ini yang ditegah oleh Rasulullah SAW?

Demikianlah peri pentingnya kepatuhan kepada dua syarat ini saatnya ia melibatkan pertukaran matawang dengan matawang. Indahnya sabda Junjungan yang mampu mencelikkan orang ekonomi tentang pokok dan dasar permasalahan. Cerdik pandai ada mengatakan, “jika mahu mengatasi masalah, ubatlah puncanya dan bukan simptomnya!”

In syaAllah dalam entri akan datang, saya akan menambah sedikit lagi analisa saya tentang wang dalam Al Quran dan As Sunnah dan jambatannya dengan perspektif ekonomi.

Salam sayang :) 

Oohh ye, jemput ke blog busana saya di www.hijabi2u.blogspot.com

Friday 3 January 2014

TENTANG WANG DALAM AL QURAN

Saya bukanlah pakar di dalam bidang Al Quran. Saya hanya belajar empat subjek khusus berhubung Al Quran sewaktu di UIAM dulu iaitu Economics in Al Quran & As Sunnah, Science of Al Quran, Tafsir Mufassirun dan Quranic Discourse. Satu pendedahan yang sangat minima. Sangat surface

Maka, disclaimer saya sedari awal lagi, saya raikan pandangan mereka yang lebih ahli, menghulur pendapat dan sama-sama memperkaya wadah keilmuan, in syaAllah. 

Tajuk saya kali ini ialah wang dalam Al Quran. Jujurnya, saya terinspirasi menulis berhubung tajuk ini setelah saya membaca buku bertajuk "The Gold Dinar and Silver Dirham" oleh Imam Imran N. Hosein. Sebelum saya mengenali tulisan beliau, saya terlebih dahulu mengenali susuk tubuh beliau secara live sewaktu menghadiri konferens antarabangsa tentang Ekonomi dan Perbankan Islam di Kuala Lumpur sekitar tahun 2010. Alhamdulillah, selepas itu saya mulai membaca tulisan beliau dan juga menonton YouTube tentang money in Islam yang diulas oleh beliau. 

Dalam tulisan beliau ini, beliau mencatatkan secara spesifik akan 14 tempat di dalam Al Quran di mana Allah menceritakan secara langsung tentang emas dan perak. 

Berdasarkan 14 tempat yang dirujuk tafsirannya dalam Al Quran (saya merujuk tafsir Fi Zilalil Quran karangan Syed Qutb) dengan seni bahasanya yang indah, kalimah yang berkait dengan dinar (emas) adalah juga berkait dengan susunan perkataan lain seperti qintar dan zahab. Sementara perkataan dirham juga mempunyai keterkaitan dengan perkataan fiddah ya’ni perak. Uslub atau cara yang digunapakai dalam Al Quran secara umumnya tidak menyudutkan emas dan perak kepada perspektif yang kecil. Malahan, Allah menjelaskan enam perkara besar yang berkaitan:

  1. Allah memerihalkan bahawa kecenderungan manusia kepada emas dan perak serta perhiasan dunia yang lainnya seperti wanita, anak-pinak, kuda, binatang ternak dan sawah ladang adalah kecenderungan syahwat yang tidak kotor dan jijik. Bahkan, Islam menggariskan bahawa kecenderungan syahwat ini bukanlah untuk ditekan atau ditindas malahan adalah untuk ditadbir urus bagi mencapai matlamat yang lebih tinggi maqamnya iaitu memperoleh redha Allah. 
  2. Allah juga menjelaskan bahawa keni’matan di dunia termasuk rumah, istana, emas, perak dan perhiasan adalah sementara. Apa yang kekal di sisi Allah adalah keni’matan yang Allah ganjari kepada orang-orang yang bertaqwa. Allah juga mengingatkan bahawa pemberian ni’mat dunia kepada hambanNya bukanlah kayu ukur tentang adakah mereka itu hampir atau jauh dengan Allah, kerana Allah juga memberikan kurniaanNya kepada hambaNya yang kufur.
  3. Allah juga mengambarkan bahawa ni’mat di dalam syurga antaranya gelas, pinggan yang diperbuat daripada emas dan perak, gelang-gelang yang dihiasi dengan emas dan permata serta pakaian yang diperbuat daripada sutera hijau yang halus dan tebal serta bersulam. Gambaran ini merupakan ni’mat yang diidami oleh hati dan keinginan manusia.
  4. Dalam satu ayat dari Surah Yusuf: 20, Allah menjelaskan tentang peranan matawang dirham sebagai medium pertukaran. Ini salah satu ayat yang secara spesifik memperincikan salah satu peranan wang iaitu sebagai medium pertukaran dan mata wang yang disebut di dalam Al Quran ialah dirham (mata wang perak). 
  5. Dalam surah Ali Imraan: 75, Allah mengisahkan tentang sikap sebahagian ahli kitab (Yahudi) yang tidak berlaku amanah apabila mereka diamanahkan dengan emas yang sedikit mahupun banyak, mereka enggan mengembalikannya. Bahkan, mereka berdusta dengan mengatakan bahawa sikap yang sedemikian itu adalah perintah Tuhan ke atas mereka. Sesungguhnya, inilah yang dinamakan sebagai penipuan di atas nama Allah kerana Allah tidak pernah memerintahkan hambaNya untuk melakukan tipu muslihat dalam muamalah mereka.
  6. Allah juga mengingatkan kita semua tentang perihal jangan sampai emas, perak dan harta dunia mengaburi kita dari kebenaran yang datang kepada kita. Sebagaimana yang telah diceritakan bila mana rakyat Fir’aun menolak dakwah Nabi Musa hanya kerana Fir’aun memiliki kekayaan dan kekuasaan sedangkan Nabi Musa adalah sebaliknya. 
Daripada 14 tempat dalam Al Quran yang menyebut tentang emas dan perak ini, hanya terdapat tiga ayat yang menyebutnya secara hampir dengan aspek muamalah iaitu dalam Surah Yusuf: 20, Ali Imran: 14, 75 dan 91.  

Adalah penting untuk kita memahami bahawa sekalipun Al Quran tidak menjelaskan secara terus atau direct tentang wang dalam bentuk dinar (dalam surah Yusuf ada perkaitan jelas dirham sebagai matawang), namun dalam surah Ali Imraan: 91 ada dinyatakan bahawa orang kafir yang mati dalam kekufuran tidak akan pernah sekali-kali dapat menebus pembalasan Allah dengan emas sepenuh bumi. Perkataan menebus boleh difahami dengan perbuatan menukar ganti ya'ni emas sebagai medium pertukaran. 

Demikianlah hasil cari gali saya yang sangat sedikit tentang wang dalam Al Quran. Dapatan yang saya temui ini meyakinkan saya bahawa terhadap dua perkara: 

1) Terdapatnya asas dalam bentuk firman Allah tentang emas dan perak sebagai medium pertukaran (atau mata wang) 

2) Emas dan perak adalah dua bentuk matawang yang sewajarnya dijadikan asas dalam sistem perekonomian lantaran keterkaitannya dengan sumber wahyu berbanding mata wang kertas yang (setakat pengkajian saya) tidak ditemukan justifikasinya dalam Al Quran. 

In syaAllah, saya bakal mengupas wang dalam Sunnah. 

Sayang Allah, sayang Rasulullah. 

Salam sayang :) 

Jemput singgah ke blog saya bagi mendapatkan koleksi busana Muslimah terbaru :) di www.hijabi2u.blogspot.com


Wednesday 1 January 2014

MERAI KEPERLUAN MUSLIMAH SANTUN NAN ANGGUN

www.hijabi2u.blogspot.com

Assalamualaikum teman-teman pembaca yang saya hormati. 

Sebelum terlewat, saya ucapkan Selamat Tahun Baru 2014 buat semua pembaca blog saya di luar sana. Semoga tahun ini membawa lembaran kejayaan, keceriaan dan kemakmuran yang lebih bermakna untuk semua dari kita, in syaAllah. 

Bersempena tajuk entri kali ini, ingin saya kongsikan sedikit cerita tentang diri saya dan busana Muslimah. Saya pada asalnya seorang wanita biasa yang sangat simple. Sewaktu degree dahulu koleksi baju saya sangat sedikit, dalam seminggu dua kali pakaian yang sama saya pakai. Itu biasa bagi saya. Janji ia bersih dan selesa. Lazimnya, saya menunggu sahaja hari raya untuk merasa baju baru yang ditaja oleh kakak-kakak dan abang-abang. Untuk membeli sendiri, sungguh saya janggal. 

Tapi itu cerita dulu, sedikit sebanyak waktu yang berlalu mengubah saya dan persepsi saya terhadap busana Muslimah. Selepas saya berumahtangga, suami saya gemar memberikan pendapat beliau tentang penampilan yang lebih sesuai untuk saya, dari jenis tudung, gaya tudung, jenis jubah, warna jubah, cutting jubah, jenis blouse, warna blouse sehinggalah warna beg tangan saya. Alhamdulillah, pendapat beliau tidak hanya merujuk bila saya keluar rumah, tetapi juga sewaktu saya berada dengannya di dalam rumah. Pesannya, "be presentable, be modest and be neat. Always". Tersenyum saya mendengarnya. 

Pada saya pesanan itu banyak faedahnya. Besar manfaatnya. Dan signifikan kesannya. Maklumlah nasihat dari kaca mata seorang lelaki yang juga suami. Suami mana yang tidak inginkan isterinya kelihatan cantik, sopan, kemas dan pandai membawa diri setiap masa. Benar bukan? 

Namun, pada masa itu iaitu lima enam tahun lepas, agak sukar saya mendapatkan koleksi busana yang memenuhi citarasa dan keperluan saya. Ada yang cantik tetapi tidak kena pada labuhnya. Ada yang menarik tetapi terdiam bila melihat tag harganya. Dan ada yang mampu beli tetapi tidak pula kena dengan citra saya. Adakah saya cerewet? Tidak juga, melainkan saya perlukan busana yang labuh, longgar, presentable dan berpatutan harganya. Cukup syarat yang empat ini...faddal..bak kata orang Arab atau silakan bak kata orang Melayu! 

Demikianlah, saya semakin kerap melayari laman web busana Muslimah dan mulai berbelanja mendapatkan apa yang saya hajatkan dan Alhamdulillah saya gembira dan berpuas hati. Lebih mudah, jimat dan cepat. Ekonomik bak kata sesetengah orang. Begitulah, mula-mula saya menjadi pembeli online sehinggalah saya rasakan kenapa tidak saya menyediakan fasiliti yang sama kepada para Muslimah yang juga mahukan seperti yang saya hajatkan? Pakaian yang santun, presentable dan berpatutan. 

Saya yakin bahawa saya perlu mengorak langkah. Saya percaya bahawa saya boleh memudahkan urusan bakal pelanggan saya dalam pencarian mereka. Saya optimis bahawa saya cuba melakukan yang terbaik ke arah memartabatkan bukan sekadar fesyen malah citra yang lebih tinggi maqamnya iaitu menutup aurat dengan sempurna. 

Nah! dengan itu wujud lah premis maya pertama saya Muslimah Fashion House di www.hijabi2u.blogspot.com. Khusus untuk memenuhi keperluan Muslimah di luar sana yang mahu mendapatkan tudung-tudung labuh yang presentable, blouse labuh yang menarik dan jubah terkini yang selesa. Semuanya pada harga mampu milik. 

Dengan demikian, jemputlah ke blog saya. Mudah-mudahan ada koleksi yang menepati citarasa yang diidamkan! 

Salam sayang! :) 


MENCARI DAN MENYUBUR BAHAGIA, BUKAN MENGHARAP SEMATA

Assalamualaikum para pembaca yang saya hormati, 

Di dalam kehidupan yang serba serbi demanding ini, kita sentiasa dihambat oleh beberapa tuntutan. Tuntutan kasih sayang. Tuntutan penghargaan. Tuntutan kerohanian. Tuntutan kewangan dan sebagainya. 

Sehinggalah kita tidak sempat menoleh ke sekeliling kita dan berhenti sebentar tentang apakah sebenarnya yang kita sedang kejar itu. 

Realitinya, itulah diri saya. Pagi saya bangun dan khidmat diri. Usai solat subuh segera pula memenuhi keperluan rumahtangga. Bergegas ke tempat kerja dan memanfaatkan kurang lebih lapan jam dengan taklifan di pejabat. Menatap dan memuliakan para pelajar yang datang dengan keazaman menjadi orang berilmu. Sungguh. Sangat berat tanggungjawab itu. Lewat petang bergegas ke pre-school el hakem brothers untuk menjemput mereka. Ada ketika melayan mereka berjalan-jalan. Pulang ke rumah untuk makan malam, rehat, mengajar mereka Al Quran, bersembang tentang apa yang mereka pelajari di pre-school, bed time stories dan melabuhkan diri melelapkan mata dan tubuh yang butuh rehat. Begitulah. Hampir setiap hari. 

Bukan mengeluh. Jauh sekali berasa tidak gembira. Alhamdulillah saya bahagia dan gembira dengan kehidupan saya. Bahagia melihat anak-anak bangun terpisat-pisat mencari saya di pagi hari. Atau tiba-tiba mencari saya agar dibancuh susu mereka di tengah malam. Atau waktunya mereka memuji masakan saya yang tidak seberapa. Ditambah pula waktu kami menyantuni mereka pada hujung minggu ke taman permainan atau pusat membeli-belah. Apakah perasaan yang lebih mengagumkan daripada melihat wajah anak-anak yang gembira bila kemahuan mereka dilayan? Alhamdulillah. 

Di sisi lain kehidupan saya yang nampaknya indah ini, Allah pernah menguji saya dengan ujian yang tidak pernah saya duga. Ia ujian tentang anakanda saya yang ketiga. Dek kerana ujian itu, saya berkampung selama hampir enam bulan di Wad kanak-kanak 4, Hospital Besar Kuala Lumpur. Saya yang mulanya tidak betah tinggal di wad akhirnya menghafal rutin kehidupan di situ. Cuti tanpa gaji saya diluluskan, kurang lebih selama 84.5 hari sepanjang 2013. Sukar saya gambarkan perasaan saya saat itu. Terutamanya sepanjang 12 malam anakanda saya dimasukkan ke PICU kerana komplikasi pasca pembedahan. Sepanjang enam bulan itu saya terasa seperti masuk ke dalam tarbiyyah Allah secara terus. Direct. Dan saya berjaya mempositifkan ujian itu hanya setelah saya berhempas-pulas cuba melepasi stage denial nya. Allah. Ia tidak semudah mengucapkan kalimah "sabarlah" dan "berfikir positiflah". Namun, indahnya saya rasai apabila kelaknya Allah buka satu persatu akan hikmahnya. Sungguh Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. 

Benarlah, antara hikmahnya yang sangat besar, saya lebih menghargai anak saya sejak itu. Saya insaf bahawa anak-anak kami bukanlah hak kami yang kami boleh layani sewenang-wenangnya. Ia hak mutlak Allah. Kami ibu bapa mereka hanyalah diamanahkan untuk menjaga, mendidik dan memberikan mereka kasih sayang, perhatian dan makan-pakai. Mereka amanah Allah. Mereka akan dipertangungjawabkan ke atas kami di akhirat kelak. Dulu, bukan saya tidak sedar hakikat ini. Namun, kini saya mempelajari hakikat ini secara praktikal. Allah. 

Alhamdulillah, anakanda ketiga saya itu Irfaan Fateeh El Hakeem kembali sihat dan ceria. Orang putih kata "bouncing back even higher". Alhamdulillah. 

Sedikit saya sematkan azam tahun baru saya, iaitu saya mahu buat yang terbaik untuk suami, anak-anak dan keluarga saya. Biar mereka gembira dengan hadirnya saya. Semoga mereka tersenyum selagi masih ada hayat saya. 

Bahagia itu perlu disuburkan. Bukan diharapkan semata. 

Jalan mujahadah menanti di hadapan. Allahumma sahhala li. Ameen.