Saturday 4 January 2014

TENTANG WANG DALAM SUNNAH


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para pembaca yang setia, 

Semoga semuanya sihat dan ceria melazimi kebaikan sebagai rutin harian. 

Saya membelek-belek Summarized Sahih Bukhari Arabic-English yang diterjemahkan oleh Dr. Muhammad Muhsin Khan. Terasa lama sudah tidak memegang kitab Hadith sejak meninggalkan Taman Ilmu dan Budi. Dari senarai indeksnya saya mencari bab tentang wang. Dua kali saya membelek indeksnya, tetapi tiada. Cuma yang paling hampir dengan pencarian saya tentang wang dalam sunnah ialah bab jual beli (the book of sales). Perlahan-lahan saya berdoa agar Allah mempermudah urusan saya bukan sahaja untuk memahami hadith-hadith ini tetapi juga untuk menganalisanya setakat kemampuan saya.

Pada mulanya, akal saya mengatakan kepada hati saya tentang siapalah saya hendak menulis tentang wang dalam Sunnah, sedangkan saya bukanlah mendalami jurusan Hadith pun. Hanya ada dua tiga hadith yang saya ingat-ingat lupa. Sedih sungguh. Tetapi, saya harus jujur pada diri saya, bahawa akal saya semata-mata tidak mampu memberi kata putus kepada fakulti-fakulti lain dalam diri saya, iaitu hati dan fizikal saya. Iya saya jenis yang jika hati saya mahukan sesuatu, fizikal pun akan turut terpaksa memenuhinya. Jadi, saya bisikkan pada akal, “mari bekerjasama dengan berfikir positif”. 

Sekali lagi, disclaimer saya, mohon jika ada orang yang lebih ahlinya membaca entri ini, marilah memperkayakan tulisan ini demi pencerahan bersama.

Jujurnya, saya menghargai hadith dan terjemahannya lebih daripada Al Quran terjemahannya (opops jangan silap faham). Maksud saya, adalah lebih mudah saya memperoleh terjemahan bagi ayat-ayat Al Quran berbanding untuk saya memperoleh hadith dan maknanya yang berkaitan dengan apa-apa subjek yang saya cari jawapannya. Tetapi jika hadith, tak kan padan jika merujuk satu Sahih sahaja. Sekalipun, inilah yang saya buat untuk peringkat permulaan ini. Iya. Saya hanya merujuk Sahih Bukhari dahulu. Bertatih kata orang, in syaAllah.

Untuk itu, saya rasa begitu rugi andai saya tidak menukilkan hadith-hadith yang membantu saya memahamkan saya tentang wang dalam sunnah.
Terlebih dahulu, saya kategorikan penemuan hadith-hadith ini kepada tiga kategori:
  1. Pertama: hadith-hadith yang menguatkan apa yang telah dijelaskan oleh Allah dalam Al Quran iaitu mata wang adalah emas dan perak (dinar dan dirham)
  2. Kedua: hadith-hadith yang memerihalkan tentang item-item lain yang menjadi mata wang
  3. Ketiga: hadith-hadith yang menjelaskan tentang syarat-syarat jual beli emas, perak dan item-item lain yang juga merupakan matawang

Pertama: Hadith yang menguatkan apa yang telah dijelaskan oleh Allah dalam Al Quran iaitu mata wang adalah emas dan perak (dinar dan dirham).

Dalam bab ke 44, hadith no. 1035, m.s 483, Daripada Jabir radiallahu ‘anhu: Rasulullah SAW melarang daripada menjual buah-buahan melainkan setelah ia masak, dan tiada satu pun daripada buah-buahan itu boleh dijual melainkan dengan menggunakan dinar ataupun dirham (iaitu wang), melainkan pokok ‘Araya (kurma yang boleh dijual dengan kurma).

Adalah penting pada asasnya untuk memahami bahawa Sunnah antara peranannya adalah penjelas kepada apa yang termaktub di dalam Al Quran. Dalam entry yang lepas, saya telah menemukan jawapan tentang adanya Firman Allah yang menyebut bahawa emas (dinar) dan perak (dirham) sebagai matawang.

Makanya, dalam hadith no. 1035 ini, Rasulullah SAW telah sekali lagi menegaskan perkara yang sama. Rasulullah SAW menjelaskan yang mana apabila buah-buahan telah masak, maka ia boleh dijual menggunakan dinar ataupun dirham. Untuk itu, dapatlah saya memberikan konklusi bahawa dinar dan dirham diiktiraf sebagai matawang dalam kedua-dua Al Quran dan As Sunnah.

Kedua: Hadith-hadith yang memerihalkan tentang item-item lain yang menjadi matawang

Dalam bab ke 30, hadith no. 1019, m.s 477, daripada ‘Umar Bin Al Khattab radiallahu anhu: Rasulullah SAW telah bersabda: “Pertukaran emas dengan emas, adalah riba melainkan jika ia dilakukan serta merta dan dengan timbangan yang setara, dan gandum dengan gandum adalah riba melainkan jika ia dilakukan serta merta dan dengan timbangan yang setara, dan kurma dengan kurma adalah riba melainkan ia dilakukan dengan serta merta dan dengan timbangan yang setara, dan barli dengan barli adalah riba melainkan jika ia dilakukan dengan serta merta dan dengan timbangan yang setara.”

Satu lagi hadith diriwayatkan dalam sahih Muslim (via buku Imam Imran yang dirujuk dalam entri lepas m.s 24 – 25). Abi Said Al Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam. (Apabila berlaku transaksi), maka ia mesti sama atau setara, dan pembayaran adalah serta merta, jika sesiapa di antara kamu yang memberi lebih atau meminta lebih, maka dia telah terlibat dengan riba dan si pemberi dan si penerimanya kedua-duanya adalah sama-sama berdosa”.

Sewaktu saya mula-mula meneliti kedua-dua hadith ini, saya bertanya kepada diri saya tentang bagaimana saya hendak menganalisa yang item-item seperti kurma, gandum, barli dan garam juga merupakan matawang? Untuk itu, saya mencuba memahaminya menerusi dua sudut:
  1. dalam kedua-dua hadith ini, Rasulullah SAW menyebut akan emas dan perak (dan kita sedia maklum yang kita telah menemukan justifikasi kedua-dua item ini sebagai matawang) bersama-sama dengan item-item yang lain iaitu kurma, gandum, barli dan garam. Dari segi uslub atau kaedah penyampaiannya, maka dapat difahami bahawa item-item ini mempunyai fungsi dan peranan yang sama disebabkan a) item-item ini dinyatakan secara bersama b) syarat-syarat jual beli item ini juga sama ya’ni perlu melibatkan pertukaran yang setara timbangannya dan tidak boleh pertukarannya dilakukan secara bertangguh. Dan dalam masa yang sama, ketidakpatuhan kepada kedua-dua syarat ini membawa kepada implikasi yang sama iaitu Riba. Pun begitu, implikasi seperti ini tidak terjadi sekiranya pertukaran yang tidak setara berlaku dalam pertukaran dua ekor unta kurus dengan seekor unta gemuk contohnya.
  2. item-item ini mempunyai nilai yang tersendiri ataupun berharga atau precious value inside them, sehinggakan ia berkeupayaan menjadi medium pertukaran atau accepted to be medium of exchange. Selain itu, item-item ini juga mempunyai jangka hayat sehingga ia mampu menyimpan nilai atau store of value. Dalam masa yang sama, item-item ini juga boleh menjadi rujukan nilai atau standard of value. Contohnya, nilai beberapa ekor unta boleh diukur dengan sekian sekian dinar atau dirham. Tetapi, fungsi-fungsi ini tidak terpakai ke atas nasi lemak contohnya kerana ia adalah tidak tahan lama atau perishable. Biarpun kurma, gandum, barli dan garam juga ada tarikh luputnya, namun item-item ini masih mempunyai sesuatu yang kita panggil rack lifetime untuk suatu jangka masa tertentu.

Pun begitu, masih terdapat dua perkara utama yang saya masih belum menemukan jawapan yang mampu memuaskan pemikiran saya iaitu:
  1. jika sekiranya item-item lain yang juga berharga, mempunyai jangka hayat dan diterima oleh masyarakat, maka adakah ia diterima di dalam Islam sebagai matawang contohnya timah, beras, getah, gula dan kelapa sawit
  2. apakah mekanisme bagi merealisasikan penggunaan matawang komoditi seperti ini dapat direalisasikan. Al Quran dan As Sunnah menerangkan perkara pokok tentang jenis matawang. Persoalannya bagaimanakah pelaksanaannya?


Ketiga: hadith-hadith yang menjelaskan tentang syarat-syarat jual beli emas, perak dan item-item lain yang juga merupakan matawang

Dalam bab ke 48, Hadith no. 1039, m.s 484, daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Huraira radiallahu ‘anhuma : Rasulullah SAW telah melantik seseorang sebagai Gabenor Khaibar. Gabenor tersebut telah membawa kepada Baginda sejenis kurma yang sangat baik (jenis kurma Khaibar). Rasulullah SAW bertanya, “Adakah semua kurma Khaibar seperti ini?” Gabenor itu menjawab, “Demi Allah, tidak, wahai Rasulullah! Namun kami menukarkan satu Sa’ kurma jenis ini dengan dua Sa’ kurma kepunyaan kami dan dua Sa’ kurma jenis ini dengan tiga Sa’ kurma kepunyaan kami,” Rasulullah SAW bersabda, “Jangan lakukan begini [kerana ini adalah salah satu jenis Riba], akan tetapi jualkanlah kurma campuran ini dengan menukarkannya dengan wang, dan belilah kurma dari jenis yang baik dengan wang itu”.

Dalam bab ke 40, hadith no. 1029, m.s 481, daripada Abu Bakar radiallahu anhu telah berkata:  telah bersabda Rasulullah SAW, “Jangan menjual emas dengan emas melainkan dengan timbangan yang setara, dan tidak juga perak dengan perak melainkan dengan timbangan yang setara (dan secara serta merta ya’ni tidak bertangguh), tetapi kamu boleh menjual emas dengan perak atau perak dengan emas selayaknya kamu mahu”

Dalam bab ke 41, hadith no. 1030, m.s 481, daripada Abu Said Al Khudri radiallahu anhu: Rasulullah SAW telah bersabda, “Jangan menjual emas dengan emas melainkan dengan timbangan yang setara (dan serta merta ya’ni tidak bertangguh), dan jangan menjual timbangan yang kurang ke atas timbangan yang banyak dan juga sebaliknya dan jangan menjual perak dengan perak (perkataan yang digunakan adalah wariq dan terjemahannya menggunakan makna sebagai perak) melainkan dengan timbangan yang setara (dan serta merta ya’ni bukan dengan secara bertangguh), dan jangan menjual timbangan yang kurang ke atas timbangan yang banyak dan juga sebaliknya, dan jangan menjual emas atau perak yang belum wujud dengan emas atau perak yang mana perak yang telah wujud”

Dalam bab ke 42, hadith no. 1031, m.s 481, daripada Abu Said Al Khudri radiallahu anhu: “Menjual dinar dengan dinar, dan dirham dengan dirham (adalah diharuskan).” Aku berkata kepadanya, “Ibnu ‘Abbas tidak berkata seperti itu.” Abu Said menjawab, “Aku telah bertanya Ibnu ‘Abbas sama ada dia telah mendengarnya daripada Rasulullah SAW atau melihatnya dalam Al Quran. Ibnu ‘Abbas menjawab, “Aku tidak menyetujuinya, dan engkau mengenali Rasulullah SAW lebih daripada aku, tetapi Usamah pernah memberitahuku bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak ada riba (dalam pertukaran wang) melainkan jika ia tidak dilakukan serta merta (ya’ni apabila ia melibatkan bayaran secara bertangguh).”

Dalam bab ke 43, hadith no. 1032, m.s 482, daripada Al Barra’ bin ‘Azib dan Zaid Bin Arqam radiallahu anhum, bahawa kedua-duanya telah ditanya tentang pertukaran wang, maka setiap dari keduanya berkata, “Dia ini lebih baik daripada aku”, dan kedua-duanya berkata, “Rasulullah SAW telah melarang menjual perak dengan emas secara tertangguh”.

Saya mengambil masa untuk menjambatankan pemahaman hadith-hadith ini dengan ilmu ekonomi yang saya pelajari. Dalam keterhadan, saya dapat menganalisa satu perkara utama:

Setelah saya diyakinkan dengan hujah dan dapatan bahawa emas, perak, kurma, gandum, barli dan garam diterima sebagai matawang. Maka adalah penting untuk difahami bahawa pertukaran matawang dengan matawang mestilah setara nilainya dan serta merta dilakukan (dalam satu majlis dan bukan secara bayaran tertangguh). Kenapakah ia disyariatkan kepada kita sebegitu rupa? Dengan mengambil satu contoh, katakanlah si A mahu menukarkan 200 gram emas jongkong dengan 200 gram emas perhiasan (jewelleries) dengan si B. Katakanlah nilai emas pada harga semasa dari jenis yang sama adalah RM132 bagi setiap satu gram didarab dengan 200 gram maka nilainya adalah RM26,400. Jika menurut persyariatan agama, nilai pertukaran ini hendaklah dilakukan secara hand to hand bukan secara kredit atau tertangguh. Kenapa? Kerana katakalah jika si A bersetuju untuk menyerahkan emas jongkongnya kepada si B pada 1 Januari 2012 dan dalam masa yang sama bersetuju membenarkan si B menyerahkan 200 gram emas perhiasannya pada 1 Disember 2012. Maka di situ, terbukalah peluang riba di mana ada kemungkinan di sebabkan faktor waktu dan penangguhan, pertukaran yang berlaku adalah di antara 200 gram emas jongkong dengan 250 gram emas perhiasan. Ya’ni bukan lagi 200 gram emas jongkong dengan 200 gram emas perhiasan. Dan, ini dengan jelas membuka kepada pintu Riba.

Dari konteks yang lebih kontemporari, inilah masalah yang kita hadapi. Apabila kita meminjam RM100,000 daripada bank dan bersetuju dengan perjanjian bayaran balik dalam tempoh 20 tahun, bukankah pada akhirnya kita terpaksa membayar balik kepada bank RM200,00 (dengan mengambil kira faktor faedah dan sebagainya)? Bukankah ini contoh pertukaran wang dengan wang yang tidak setara? Dan bukankah ini yang ditegah oleh Rasulullah SAW?

Demikianlah peri pentingnya kepatuhan kepada dua syarat ini saatnya ia melibatkan pertukaran matawang dengan matawang. Indahnya sabda Junjungan yang mampu mencelikkan orang ekonomi tentang pokok dan dasar permasalahan. Cerdik pandai ada mengatakan, “jika mahu mengatasi masalah, ubatlah puncanya dan bukan simptomnya!”

In syaAllah dalam entri akan datang, saya akan menambah sedikit lagi analisa saya tentang wang dalam Al Quran dan As Sunnah dan jambatannya dengan perspektif ekonomi.

Salam sayang :) 

Oohh ye, jemput ke blog busana saya di www.hijabi2u.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen anda!