Sunday 27 April 2014

BELANJA BERHEMAH, BELANJA BERHIKMAH

Assalamualaikum para pembaca semua, 

Semoga sentiasa di dalam peliharaan Allah hendaknya. 

Persoalan kewangan rumahtangga adalah antara perkara terpenting yang perlu diuruskan oleh isteri dan ibu. Pengurusan yang baik mampu menjadi sumber inspirasi rumahtangga yang harmoni dan bahagia. 

Antara perkara asas yang ramai mengetahui adalah sifir berikut:

I – S = E adalah belanja berhemah. Di mana (I) Income atau pendapatan ditolak (S) saving atau pendapatan sama dengan (E) expenditure atau perbelanjaan.

Dalam pemahaman yang mudah, belanjakan daripada pendapatan kita yang telah kita tolak dengan simpanan terlebih dahulu. Simpan dulu baru belanja, dan bukannya belanja dulu baru menyimpan! Alhamdulillah, saya percaya ramai yang tahu.

Namun, adakah simpanan sahaja yang memainkan peranan dalam perancangan kewangan seorang Muslim?

Dalam sebuah tulisan oleh Sayyid Abul A’la Mawdudi yang bertajuk The First Principles of Islamic Economics, beliau mengungkapkan sembilan ayat Al Quran yang berkaitan hal membelanjakan wang di dalam sub tajuk correct ways of spending money.

Daripada kesembilan ayat ini, dapatlah saya ringkaskan dua perkara asas yang sewajarnya menjadi kayu ukur atau panduan buat kita membelanjakan wang.

1. Wang adalah untuk tujuan amal kebajikan

Sungguhpun pemahaman umum amal kebajikan selalu dikaitkan sedekah, waqaf, infaq, zakat dan hadiah, namun ia perlu dilihat secara lebih jelas dan mendalam.

Pertamanya, Allah menegaskan harta yang Allah rezekikan kepada kita bukan seratus peratus milik kita. Akan tetapi ada haq ma’lum (hak yang diketahui) yang mana sebahagiannya adalah untuk orang yang meminta (orang miskin) Al Maarij: 24-25. Maknanya, jika pendapatan kita RM5000 contohnya, ada peratusan tertentu merupakan haq orang lain yang memerlukan. Jangan ambil hak mereka, ambil sahaja selepas menyempurnakan hak mereka.

Bagaimana kita boleh lagi menafikan tuntutan beramal kebajikan sedangkan Allah kata dalam pendapatan kita ada haq orang yang memerlukan. Jika namanya pun haq, maka tunaikanlah!

Keduanya, bila beramal kebajikan, beramallah yang terbaik dari bahagian yang Allah rezekikan kepada kita Ali Imraan: 92. Dalam ayat ini Allah tegaskan jika kita menginginkan pahala bagi amal kebajikan yang kita lakukan, maka peruntukkanlah yang terbaik. Maknanya, jika musim durian, jika mahu sedekahkan durian kepada jiran tentangga, pilihlah yang molek-molek. Jika mahu menyedekahkan pakaian terpakai, jangan pula memperuntukkan yang telah rabak. Pokoknya, beramallah dari bahagian yang terbaik yang kita ada.

Ketiganya, saatnya kita beramal kebajikan, jangan semata memfokuskan kepada yang meminta-minta. Kerana Allah menegaskan dalam Al Baqarah: 273 bahawa terdapat orang yang kesusahan dan memerlukan namun memilih untuk tidak meminta-minta daripada masyarakat disebabkan mereka memelihara kehormatan diri mereka. Allah beritahu kita supaya kita bantu mereka dan Allah akan mengganjari kita dengan kebaikan. Maknanya, kita kena prihatin dengan saudara se Islam kita dan masyarakat keseluruhannya. Ambil tahu dan ambil peduli.

Saya terkesan dengan sikap sebahagian saudara se-Islam kita di bumi bergolak Palestin di mana mereka saatnya ditemu-ramah membuktikan bahawa mereka mempunyai harga diri yang tinggi, tidak meminta-minta dengan cara yang tidak sepatutnya sekalipun betapa sukarnya kehidupan mereka. Hakikatnya, mereka sangat wajar dibantu dengan apa cara sekalipun. Inilah contoh golongan yang Allah maksudkan dalam ayat ini.

Keempatnya, antara golongan yang Allah perincikan sebagai sangat digalakkan untuk kita membantu mereka adalah anak yatim, orang miskin dan hamba sahaya Ad Dahr: 8-9. Maknanya, bersama-samalah kita membantu golongan yang Allah sebutkan ini.

Suka juga saya kongsikan di sini kata-kata seorang syeikh yang mengajar saya semasa di UIAM dulu, jika mahu bersedekah, sedekahkanlah hartamu kepada mereka di kalangan ahli keluarga mu dahulu, kemudian barulah mereka yang lainnya. Nantinya, kamu memperoleh pahala bahkan juga SILATURRAHIM! Dan inilah tatacara yang Allah tegaskan dalam ayat 36 surah An Nisaa’. Bahkan, Allah mendahulukan keutamaan dalam berbuat baik kepada dua ibu-bapa sebagai yang paling utama.

Namun, penting untuk kita ingatkan diri kita tentang ayat ke 38 surah An Nisaa’, ikhlaskan amal kebajikan yang kita lakukan kerana Allah semata-mata, jangan sampai berlaku riya’, nanti kita akan kerugian kerana waktu itu pahala sudah bertukar menjadi debu.

Demikianlah empat panduan beramal kebajikan yang Allah nukilkan di dalam Al Quran yang sewajarnya kita ambil sebagai guideline dalam kita melaksanakannya.

2. Wang adalah untuk keperluan keluarga

Keperluan keluarga wajarnya difahami secara mikro dan makro. Keluarga yang ada pertalian darah dan keluarga yang berkongsi akidah.

Allah mengaitkan bahawa darjat bagi seseorang adalah antara lainnya diukur dengan kesanggupannya membelanjakan hartanya untuk kaum keluarganya, anak-anak yatim, orang miskin, ibn sabil (mereka yang bermusafir demi kebaikan termasuklah para pelajar yang menuntut ilmu jauh di perantauan) dan riqaab (dan orang yang berhutang demi keperluan namun, tidak mampu melunaskannya) (Al Baqarah: 177).

Tuntutan dalam Al Quran adalah membelanjakan wang demi keperluan keluarga. Dalam masa yang sama, pengkategorian bakhil adalah termasuk mereka yang lokek dalam memperuntukkan wang perbelanjaan kepada kaum keluarganya. Oleh kerana besarnya pertanggungjawaban ini, maka ia telah dinukilkan secara khusus dalam panduan umum tatacara membelanjakan wang dalam Islam.

Secara peribadinya, saya sangat bersyukur kerana Allah telah mengurniakan buat saya seorang suami yang sangat berhikmah dalam memperuntukkan perbelanjaan buat kami sekeluarga.Semoga Allah mengganjarimu dengan sebaik-baik ganjaran.

Memandangkan buku yang saya rujuk ini adalah buku yang tebal dan lengkap, maka sub topik lain yang berkaitan adab-adab berbelanja seperti larangan membazir dan sebagainya telah diperincikan dalam bab yang lain. 

Mudah-mudahan kita bukan sahaja mampu berbelanja secara berhemah, namun juga secara berhikmah. 

Salam sayang, 

Sa'diah