Friday 6 December 2013

Ekonomi: Sistem yang Berkait dengan Saya?

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Ekonomi adalah satu bidang yang sangat luas.

Ia bercakap tentang sistem.

Ia menerangkan tentang apa, kenapa, berapa dan bagaimana.

Ia mengkaji tentang nilai dan kelakuan.

Ia menjangka kemungkinan berdasarkan bukti dan dapatan.

Ia juga dinamik dan berevolusi dengan berkembangnya pemikiran baharu.

Ia terus meraikan kritik dan pandangan.

Namun, ia bukanlah bidang yang baru. 1400 tahun yang lalu, intipati ekonomi menerusi terma fiqhnya ‘muamalah’ telah diperjelas oleh Allah di dalam Al Quran dan diperhalusi dalam bentuk amali oleh Junjungan Besar Muhammad SAW. Seawal akhir kurun ke dua Hijrah, ia telah mulai berkembang sejajar perkembangan pesat kegiatan perekonomian waktu itu. Bahkan, sekalipun ekonomi sebagai disiplin moden disebut sebagai memulai momentumnya pada 1976, buku pertama tentang teori of interest telahpun ditulis seawal 1946 oleh AI Quraishi.

Menariknya, Al Quran menyebut dengan jelas perkara-perkara berkaitan wang, transaksi jual beli, transaksi hutang, sukat dan timbang, zakat, sedekah, faraid, harta rampasan perang, sumber-sumber, riba, kepenggunaan, rezeki, etika, guna tenaga, perdagangan, polisi, ketamadunan dan pembangunan serta banyak lagi. Dalam hal ini, dapatlah difahami gagasan Islam sebagai cara hidup merangkumi ruang lingkup yang jauh lebih besar daripada ibadah khusus semata-mata. Bahkan,  ekonomi meliputi sebahagian besar hidup kita.

Ia merupakan salah satu objektif pensyariatan agama. Di mana objektif yang kelima agama (maqasid syariah) adalah untuk memelihara harta (maal). Peri pentingnya harta sehingga diperhalusi oleh Islam mulai dari pemerolehannya (acquisition) sehinggalah ke peringkat penggunaannya (disposition).

Kesemuanya ada garis panduan.

Kesemuanya ada pertanggungjawaban. Tertakluk pada hukum yang lima. Halal, haram, sunat, makruh atau harus.

Ibaratnya, kelestarian seorang Muslim dalam melunaskan tanggungjawab kepada Allah tidak sempurna melainkan ada penyempurnaan dari segi ekonomi kehidupannya. Ibarat mahu makan ayam yang halal, manusia perlu tahu ilmu melentur besi bagi menghasilkan pisau yang tajam.

Ibarat mahu menunaikan rukun Islam keempat iaitu zakat, perlu ada ilmu bagaimana mahu menjana rezeki untuk dizakatkan.

Ekonomi adalah ilmu untuk kehidupan.

Ia suatu tanda kecintaan kepada agama kerana mahu melunaskan tanggungjawab dalam Al Quran dan As Sunnah.

Ia mercu cinta kepada ummah melalui usaha memajukan diri dengan cara dan pendekatan yang hak.

Salam sayang. Hingga berjumpa lagi.   

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen anda!