Wednesday 1 January 2014

MENCARI DAN MENYUBUR BAHAGIA, BUKAN MENGHARAP SEMATA

Assalamualaikum para pembaca yang saya hormati, 

Di dalam kehidupan yang serba serbi demanding ini, kita sentiasa dihambat oleh beberapa tuntutan. Tuntutan kasih sayang. Tuntutan penghargaan. Tuntutan kerohanian. Tuntutan kewangan dan sebagainya. 

Sehinggalah kita tidak sempat menoleh ke sekeliling kita dan berhenti sebentar tentang apakah sebenarnya yang kita sedang kejar itu. 

Realitinya, itulah diri saya. Pagi saya bangun dan khidmat diri. Usai solat subuh segera pula memenuhi keperluan rumahtangga. Bergegas ke tempat kerja dan memanfaatkan kurang lebih lapan jam dengan taklifan di pejabat. Menatap dan memuliakan para pelajar yang datang dengan keazaman menjadi orang berilmu. Sungguh. Sangat berat tanggungjawab itu. Lewat petang bergegas ke pre-school el hakem brothers untuk menjemput mereka. Ada ketika melayan mereka berjalan-jalan. Pulang ke rumah untuk makan malam, rehat, mengajar mereka Al Quran, bersembang tentang apa yang mereka pelajari di pre-school, bed time stories dan melabuhkan diri melelapkan mata dan tubuh yang butuh rehat. Begitulah. Hampir setiap hari. 

Bukan mengeluh. Jauh sekali berasa tidak gembira. Alhamdulillah saya bahagia dan gembira dengan kehidupan saya. Bahagia melihat anak-anak bangun terpisat-pisat mencari saya di pagi hari. Atau tiba-tiba mencari saya agar dibancuh susu mereka di tengah malam. Atau waktunya mereka memuji masakan saya yang tidak seberapa. Ditambah pula waktu kami menyantuni mereka pada hujung minggu ke taman permainan atau pusat membeli-belah. Apakah perasaan yang lebih mengagumkan daripada melihat wajah anak-anak yang gembira bila kemahuan mereka dilayan? Alhamdulillah. 

Di sisi lain kehidupan saya yang nampaknya indah ini, Allah pernah menguji saya dengan ujian yang tidak pernah saya duga. Ia ujian tentang anakanda saya yang ketiga. Dek kerana ujian itu, saya berkampung selama hampir enam bulan di Wad kanak-kanak 4, Hospital Besar Kuala Lumpur. Saya yang mulanya tidak betah tinggal di wad akhirnya menghafal rutin kehidupan di situ. Cuti tanpa gaji saya diluluskan, kurang lebih selama 84.5 hari sepanjang 2013. Sukar saya gambarkan perasaan saya saat itu. Terutamanya sepanjang 12 malam anakanda saya dimasukkan ke PICU kerana komplikasi pasca pembedahan. Sepanjang enam bulan itu saya terasa seperti masuk ke dalam tarbiyyah Allah secara terus. Direct. Dan saya berjaya mempositifkan ujian itu hanya setelah saya berhempas-pulas cuba melepasi stage denial nya. Allah. Ia tidak semudah mengucapkan kalimah "sabarlah" dan "berfikir positiflah". Namun, indahnya saya rasai apabila kelaknya Allah buka satu persatu akan hikmahnya. Sungguh Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. 

Benarlah, antara hikmahnya yang sangat besar, saya lebih menghargai anak saya sejak itu. Saya insaf bahawa anak-anak kami bukanlah hak kami yang kami boleh layani sewenang-wenangnya. Ia hak mutlak Allah. Kami ibu bapa mereka hanyalah diamanahkan untuk menjaga, mendidik dan memberikan mereka kasih sayang, perhatian dan makan-pakai. Mereka amanah Allah. Mereka akan dipertangungjawabkan ke atas kami di akhirat kelak. Dulu, bukan saya tidak sedar hakikat ini. Namun, kini saya mempelajari hakikat ini secara praktikal. Allah. 

Alhamdulillah, anakanda ketiga saya itu Irfaan Fateeh El Hakeem kembali sihat dan ceria. Orang putih kata "bouncing back even higher". Alhamdulillah. 

Sedikit saya sematkan azam tahun baru saya, iaitu saya mahu buat yang terbaik untuk suami, anak-anak dan keluarga saya. Biar mereka gembira dengan hadirnya saya. Semoga mereka tersenyum selagi masih ada hayat saya. 

Bahagia itu perlu disuburkan. Bukan diharapkan semata. 

Jalan mujahadah menanti di hadapan. Allahumma sahhala li. Ameen. 


No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen anda!