Tuesday 16 December 2014

SELAMAT ULANGTAHUN KE 3 ANAKANDA KAMI, AKIM


 

Anakanda kami ini selamat dilahirkan pada pagi tanggal 16 Disember 2011 di Azzahra, Bangi. Untuk kali ke tiga saya melalui proses kelahiran secara normal, melahirkan anakanda Irfaan adalah agak mudah walaupun saya mengalami komplikasi lekat uri. Hanya Allah yang tahu betapa gembiranya perasaan saya saat mendakap bayi kecil yang comel, sempurna dan sihat ini yang kemudiannya dinamai Irfaan Fateh El Hakeem bin Ismanizam.

Menjaga anakanda Irfaan sedari usia bayinya penuh dengan peristiwa yang mematangkan kami suami isteri. Pada usianya tiga bulan, dia dimasukkan ke wad nuerologi HKL selama lebih kurang 2 minggu. Saya ada pengalaman menanda kertas peperiksaan pelajar saya di wad waktu itu. Saya rasakan dua minggu itu cukup lama. Padahal, saya tidak tahu yang pada masa hadapannya Allah bakal menguji saya dan suami dengan ujian yang lebih besar. 

Begitulah, belum pun usia anakanda kami ini cukup setahun (11 bulan) sekali lagi dia dimasukkan ke wad. Kali ini di Hospital Serdang sebelum dikejarkan ke wad KK4, HKL. Subhanallah, siapa sangka saya menghuni wad KK4 hampir 6 bulan lamanya. Iya 6 bulan, bukan 6 minggu. Saya akhirnya menjadi biasa dengan rutin sepanjang menjaganya di KK4. Waktu untuk para doktor round wad, waktu makan ubat, jenis ubat, waktu neb, waktu makan, waktu bawa dia bersiar-siar dan waktu dia melelapkan mata. Namun, biarpun 6 bulan itu di lihat tempoh yang lama, ada 12 malam sewaktu dia di HKL yang saya seolah-olah berjalan tidak pijak tanah, dek kerana kerisauannya yang sangat besar. Itulah 12 malam anakanda kami ini di PICU, pasca pembedahannya. Pada saat inilah, saya rasakan betapa kerdilnya saya, dan betapa bermaknanya setiap sujud saya ke hadratNya. Kerana saya meminta setiap kebaikan dan kesihatannya dengan sesungguh hati saya. Tidak ada yang tidak terluah kepada Allah. Semuanya tentang dia, agar dia kembali sihat. Allah. Kami hanya pulang ke rumah dengan keadaan kesihatannya seperti sedia kala pada hujung Jun 2013. Alhaamdulillah thumma alhamdulillah. 

Sungguh, para doktor hanya merawat dan Allah yang menyembuhkan. Namun, team surgeon KK4 yang diketuai Datuk Dr. Zakaria Zahari adalah yang terbaik. Dedikasi, keprihatinan, kebaikan, kesabaran, hemah dan wisdom mereka tidak akan pernah saya sekeluarga mampu membayarnya. Bahkan para jururawatnya juga sangat mulia hatinya. Tidak sedikit saat saya memerlukan bantuan, mereka menghulurkannya dengan sebaik-baiknya, sekalipun ia mungkin di luar tanggungjawab mereka. Saya faham dengan keupayaan menjaga wad dengan jumlah kakitangan yang sedikit tetapi pesakit yang ramai, bukanlah mudah. Sungguhpun begitu, satu perkataan sahaja yang mampu saya ungkapkan setiap kakitangan di KK4 adalah sangat IKHLAS dan memberikan yang terbaik buat semua pesakit mereka. Jika ada masyarakat di luar sana yang memandang serong kepada hospital kerajaan, saya berani berkata sebaliknya. YOU ARE ALL THE BEST, KK4 STAFF!

Demikian jua, untuk semua ahli keluarga kami, teman-teman dan para pelajar saya yang sama-sama berkongsi suka duka ujian kami ini. Ziarah kalian, sumbangan yang dihulurkan, sms dan wasap yang dititipkan dan doa yang dipanjatkan semuanya yang telah kalian infakkan, sangat kami hargai. Hanya Allah yang mampu mengganjarinya dengan sebaik-baik ganjaran. Paling saya tidak boleh lupakan solat hajat staff KUIS di Masjid Al Azhar untuk anakanda kami ini. Allah. 

Alhamdulillah, sebaik usianya menginjak 3 tahun, Irfaan mulai kami daftar di kindy. Saya dan suami menginginkan yang terbaik untuk Irfaan dan abang-abangnya, di dunia dan akhirat. 

Sempena ulangtahun kelahiran Irfaan yang ke-3, mama, baba, along dan angah mengucapkan

SEMOGA DIBERKATI, DIKURNIAKAN KESIHATAN YANG BAIK DAN KEJAYAN DALAM TAHUN-TAHUN YANG MENDATANG, AMEEN

KAMI SAYANG AKIM 

No comments:

Post a Comment

Terima kasih atas komen anda!